Kuala Lumpur 5 Nov. – Penubuhan Koperasi Atlet Malaysia Berhad [KAMB] yang dilancarkan hari ini membuka peluang kepada para atlet menjalankan perniagaan berkaitan kepakaran dalam bidang sukan yang diceburi.Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bekas atlet secara asasnya mempunyai kepakaran dalam kejurulatihan dan mereka juga mampu memberi khidmat nasihat dalam bidang sukan.
“Atlet juga boleh menjual peralatan sukan dan saya yakin pengguna akan lebih yakin kepada mereka berbanding orang lain yang tidak mempunyai kepakaran dalam bidang terbabit”.
“Sebagai contoh, orang ramai akan meyakini kebolehan dan kemahiran seseorang bekas atlet bina badan sekiranya dia membuka gymnasium,” katanya.Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran KAMB oleh isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini hari ini.
Ia diikuti upacara menandatangani perjanjian persefahaman [MoU] antara KAMB, Iris Corporation Berhad dan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak.Ismail Sabri memberitahu, para atlet boleh bekerja, dibayar gaji dan seterusnya menerima dividen sekiranya projek tanaman tembikai emas yang bakal diusahakan oleh KAMB di Perak memperoleh keuntungan.
Terdahulu, pada majlis yang sama beliau turut mengumumkan pemberian RM30,000 kepada KAMB sebagai geran permulaan.
Utusan Malaysia – Jumaat 6 November 2009Â



