Paparan Bergambar

Joomla gallery by joomlashine.com

Paparan

UtamaDalam Kenangan

Harimau Mati Meninggalkan Belang, Manusia Mati Meninggalkan Nama

PETER VAN HUIZEN (03/09/1932 - 11/09/2011, 79 tahun)

Salah seorang atlet terbaik sepanjang zaman pernah mewarnai dunia sukan tanahair. Peter antara sebilangan kecil atlet yang bukan sahaja dikenali sebagai lagenda hoki, malah turut cemerlang sebagai pemain bolasepak – kelebihan yang menjadikannya istimewa berbanding atlet-atlet lain.

Sebagai pemain hoki, anak kelahiran Seremban ini adalah antara 18 pemain muda yang pernah membawa cabaran negara di Sukan Olimpik Melbourne 1956 dan Sukan Asia 1958 di Tokyo, malah aksi hebatnya mengawal gawang menyaksikannya dinobatkan sebagai Penjaga Gol Terbaik Dunia 1956. Di era kegemilangannya, Peter pernah mencipta sensasi sebagai penjaga gol yang menanduk bola hoki menggunakan kepala, di mana ketika itu tiada sebarang alat pelindung seperti helmet, pad mahupun sarung tangan digunakan.

Manakala sebagai pemain bolasepak, Peter mencipta nama bersama skuad negara dalam Kejohanan Empat Penjuru 1952 di Kuala Lumpur, selain mewakili
Malaysia di Sukan SEAP 1959 di Bangkok. Beliau juga pernah mewakili Persatuan India Negri Sembilan (PINS), Seremban Rangers, serta pasukan bolasepak negeri.

Peter adalah anak ke-13 daripada 16 adik beradik dan minatnya kepada dunia sukan bermula sejak berusia 10 tahun ketika belajar di St.Paul Institution. Semangatnya untuk menyumbang kepada komuniti dan negara langsung tidak pernah pudar meskipun selepas bersara, justeru sebagai menghargai jasa dan pengorbanannya, Peter dianugerahkan Pingat Jasa Kebaktian (PJK) pada 1969, oleh Almarhum Tuanku Ja’afar Tuanku Abdul Rahman, Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ketika itu.

Sebagai jurulatih, sentuhan emas Peter, melahirkan ramai penjaga gol terkemuka negara antaranya Datuk Ho Koh Chye, Hamdan Hamzah, Osbert Pinto dan Nasihin Nubli Ibrahim, dan beliau bersama abangya Lawrence sama-sama berkhidmat sebagai Pembantu Jurulatih kepada William Fidelis, yang membimbing skuad hoki wanita meraih gangsa di Kejohanan Antara Benua 1989.

Mendiang meninggal akibat Pneumonia, meninggalkan balu, Angeline Peter, dan dua anak Terence dan Adrian. Pemergiannya nyata satu kehilangan besar kepada arena sukan tanah air.

 

SUSHILA G.S MANIAM (28/09/1956 - Ogos 2011, 55 tahun)

Bekas pemain bolasepak wanita kebangsaan sekitar tahun 70-an dan 80-an. Pernah mewakili negara di beberapa kejohanan besar antaranya Piala Asia 1975 di Hong Kong dan 1979 di India. Meninggal akibat mengalami kanser hati.

 

GENDA SINGH AMAR SINGH (9/06/1922 - 9/10/2011, 89 tahun)

Atlet tertua pernah mewakili negara pada usia 55 tahun, usia yang mana beliau sepatutnya sudah bersara, malah lebih membanggakan Genda Singh menghadiahkan pingat gangsa buat negara pada penampilan terakhirnya di Sukan SEAP Kuala Lumpur 1977 dalam acara lontar tukul besi.

Beliau yang ketika itu sedang merawat kecederaan koyakan pada otot dada, dinasihatkan doktor agar tidak mengambil risiko dan tidak membenarkannya bertanding namun Genda mengingkari nasihat doktor, tetap bertanding dengan bantuan ubat penahan sakit sebelum menoktahkan karier 17 tahunnya sebagai atlet kebangsaan, sejurus berakhir temasya berkenaan - semangat dan determinasi yang jarang dapat kita lihat pada atlet generasi kini. Genda yang juga cemerlang dalam acara lempar cakera dan lontar peluru mula mewakili negara pada usia 38 tahun, iaitu pada 1960 dan pernah mewakili negara di pelbagai kejohanan besar termasuk Sukan SEAP 1965 dan Sukan Asia 1966 di Thailand, selain memiliki koleksi pingat yang pelbagai.

Genda merupakan anak kelahiran India yang menjejakkan kaki ke Tanah Melayu sebagai Tentera India pada 1942, seterusnya mendapat kerakyatan Malaysia dan menetap di Ipoh, Perak. Sejurus bersara pada 1977, Genda memastikan legasinya di dalam bidang lontar tukul besi tidak pupus begitu sahaja, dan ia diwarisi anak sulungnya, Samret Singh - pemenang pingat emas Sukan Sea 1985 dan 1989.

Genda meninggal dunia pada usia 89 tahun, di Pusat Perubatan Universiti Malaya, meninggalkan balu, Mohindar Kaur dan 6 orang anak.

 

Apa Kata Mereka?

Saya telah menerima bantuan daripada YAKEB untuk menampung kos rawatan kedua-dua kaki saya. Saya amat berterima kasih di atas keprihatinan yang ditunjukkan - R.Anthony Ratnam (Bolasepak, 1955 - 1963)


Dengan tertubuhnya YAKEB banyak manfaat yang diterima oleh atlet dan terasa amat dihargai. Yakeb perlu meluaskan pencarian bekas-bekas atlet yang mana banyak menghadapi kesukaran dalam kehidupan masing-masing – Khamal Idris Ali (Bolasepak, 1993-1996)


Ahli-ahli sukan pada masa dahulu tidak pernah mendapat keistimewaan seperti sekarang. Dahulu kami bersukan demi negara bukan wang ringgit. Terima kasih YAKEB! – Hj. Zambrose Abdul Rahman (Olahraga, 1961 – 1971)


Tahniah serta syabas di atas kewujudan YAKEB, setelah menunggu puluhan tahun, ini hasilnya, idea yang kreatif serta bernas untuk memberi pengiktirafan, kebajikan para atlet yang telah berusaha untuk mengharumkan nama negara di mata dunia. Terima kasih. – Wan Harun Wan Ahmad (Renang Paralimpik, 1992-2010) 


Dengan adanya bantuan rawatan perubatan, skim insurans, bantuan kewangan selain sokongan moral, saya menganggap ianya sebagai penghargaan terbesar buat bekas atlet yang telah diusahakan YAKEB – Joseph Phan Soon Fatt (Olahraga, 1982-1988)


Kemunculan YAKEB adalah tepat pada waktunya tatkala kami para atlet tiada tempat untuk menumpang paut, saya secara peribadi amat bertuah dan berbangga menjadi ahli YAKEB. Semoga YAKEB akan terus cemerlang dalam memberikan khidmat setaraf negara-negara maju dalam bidang sukan. – Shahidon Hanafiah (Boling Padang Paralimpik)


Saya telah mengalami penyakit saraf pada 2009. Yakeb telah banyak membantu dengan menanggung kos perjalanan, tempat tinggal, kos rawatan dan kos pembedahan yang saya jalani di Hospital Assuntha. Saya terharu dengan keprihatinan yang ditunjukkan. Yakeb wajar diberikan pujian, tiada kata yang lebih baik dapat diungkapkan. – Yahaya Jusoh (Bolasepak, 1970)

Pengiklanan

Hubungi kami untuk tujuan pengiklanan di dalam Buletin YAKEB dan juga laman web YAKEB (www.yakeb.org.my) 

Free business joomla templates