
Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) mengalu-alukan kedatangan Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Jamil Salleh sebagai Pengerusi baru YAKEB menggantikan Dato' Paduka Dr. Mumtaz Jaffar, yang tamat tempoh perkhidmatan Oktober lalu.
Pelantikan Datuk Jamil serta ahli lembaga pengarah yang baru, dibuat KBS bagi tempoh tidak melebihi 2 tahun sepertimana terkandung dalam Artikel 36, Memorandum dan Artikel YAKEB berkuatkuasa mulai 15 Oktober 2011 hingga 14 September 2013.
Datuk Jamil berpengalaman luas dalam bidang pengurusan dan pentadbiran, di mana beliau turut pernah menjawat jawatan antaranya sebagai Ketua Unit Perancangan dan Pembangunan, Pengarah Pembangunan dan Logistik serta Pengarah Pembangunan dan Perolehan di Jabatan Penjara, Kementerian Dalam Negeri, manakala jawatan terakhirnya sebelum dilantik sebagai TKSU di KBS adalah Timbalan Setiausaha Bahagian NKRA di Kementerian Dalam Negeri.
Datuk Jamil akan dibantu Presiden Persatuan Kembara Malaysia, Dato' Khalid Yunus yang dilantik sebagai Timbalan Pengerusi, manakala barisan ahli lembaga baru dianggotai Dato' Zolkples Embong (Ketua Pengarah MSN), Dato' Dr. Ramlan Aziz (CEO ISN), Dato' Dina Rizal (Pengerusi Kelab Sukan SportsUnite), Nor Saiful Zaini Nasiruddin (bekas pemain hoki negara), Rabuan Pit (bekas atlet Olahraga negara) dan Vijesh Rai (Pengarang Sukan NSTP).
Selamat datang diucapkan kepada barisan pucuk pimpinan baru, dan selamat berkhidmat untuk kebajikan warga bekas atlet.


