
Selepas lebih dua bulan beralih kepimpinan, barisan kepimpinan baru Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan di bawah pimpinan Datuk Jamil Salleh mengadakan Mesyuarat Ahli Lembaga yang pertama pada 15 Januari lalu, bertempat di pejabat beliau - pejabat Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) di Kementerian Belia dan Sukan, Putrajaya.
Mesyuarat lebih 2 jam itu, membincangkan pelbagai perkara, antaranya berkenaan Program Yakeb untuk kalendar tahun 2012, peranan yang akan dimainkan setiap ahli lembaga, perihal kebajikan ahli-ahli yang berdaftar, pengenalan dan penajaan terhadap kad ahli, penstrukturan semula peranan Yakeb itu sendiri agar tidak tersasar daripada matlamat penubuhannya, selain mendengar sendiri pendapat serta cadangan setiap ahli lembaga sebagai input untuk penambahbaikan dari semasa ke semasa.
Dan selaras dengan nama serta motto yang seringkali dilaungkan – Kebajikan Anda Keprihatinan Kami – Datuk Jamil menegaskan setiap aktiviti atau program yang dianjurkan bagi memenuhi Taqwim Yakeb 2012, akan berlandaskan kebajikan semata-mata, bukan mementingkan promosi atau publisiti, atau penganjuran acara/karnival besar-besaran seperti tahun-tahun sebelumnya bagi mengelakkan pembaziran.
Lebih menarik, kesemua 8 ahli lembaga – Datuk Khalid Yunus, Datuk Dina Rizal Abdullah, Dato’ Zolkples Embong, Dato’ Ramlan Aziz, DSP Rabuan Pit, Nor Saiful Zaini Nasiruddin, Vijesh Rai termasuk Datuk Jamil sendiri bersetuju untuk menerima elaun kehadiran mesyuarat (sitting allowance) yang lebih rendah selepas ini, dengan berpendapat wang itu lebih elok disalurkan untuk kebajikan para ahli.
Ini sekaligus membuktikan betapa kepimpinan Yakeb peka akan matlamat/objektif penubuhannya, dan menjadikan kebajikan bekas atlet sebagai teras utama khidmat mereka, sekaligus membuktikan juga betapa laungan Kebajikan Anda, Keprihatinan Kami, bukan omong kosong.
Tahniah kepada barisan Ahli Lembaga Yakeb di atas keputusan yang dicapai, dan selamat berbakti kepada para bekas atlet negara.



