SUMBER : Harian Metro, 13/12/2011
PAHANG tidak pernah meminggirkan nasib bekas atlet yang mengharumkan nama negeri itu selepas mereka bersara.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kebudayaan Pahang, Datuk Wan Adnan Wan Mamat berkata, bekas atlet Pahang dibahagikan kepada dua kategori iaitu mereka yang pernah beraksi di Sukan Malaysia (Sukma) dan peringkat kebangsaan.
Menurutnya, bagi bekas atlet Sukma berusia 21 tahun ke atas, Majlis Sukan Pahang (MSP) memberikan sokongan penuh untuk membolehkan mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.
“Kebanyakan bekas atlet ini berjaya melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA/S), politeknik dan Kolej Komuniti.
“Berdasarkan statistik Jabatan Pengajian Tinggi, seramai 990 daripada 41,267 calon bagi sesi akademi 2011/2012 adalah atlet negeri dan negara.
“Dalam konteks pekerjaan, MSP menawarkan 30 peratus iaitu 14 daripada 40 kakitangan adalah bekas atlet dalam pentadbiran MSP, Unit Sukan Prestasi Tinggi Majlis Sukan negara (MSN) dan Institut Sukan Negara satelit Pahang dengan kelayakan bersesuaian,” katanya.
Bagi atlet Pahang yang mewakili negara, Wan Adnan berkata, Kerajaan Pusat menubuhkan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) yang menguruskan hal ehwal kebajikan atlet dalam pelbagai aspek yang sesuai sama ada yang masih aktif menyumbang tenaga, bersara termasuk atlet kelainan upaya.
Menurutnya, setakat ini, seramai 1,500 bekas atlet negara berdaftar dengan Yakeb.
“Di Pahang, MSP sudah menyenaraikan bekas atlet seperti Mohd Faizal Baharom (gambar), Zainuddin Joseph, Aminuddin Sulaiman, Roslina Bakar, Jem Murni, Iskandar Arshad dan yang lain-lain didaftarkan sebagai ahli Yakeb.
“Oleh itu, kerajaan Pahang sentiasa membantu serta menyokong bekas atlet negeri dan negara dalam meneruskan perjuangan masing-masing sama ada dalam pendidikan, kerjaya, kemahiran, keusahawanan dan kebajikan,” katanya.



